Panduan keselamatan: Bencana gempa bumi
Sep 13th, 2007 by Takaful
Gempa bumi adalah gegaran di permukaan bumi disebabkan oleh:
- Pergerakan kerak bumi
- Pergerakan magma di dalam gunung berapi dan biasanya diikuti dengan letusan gunung berapi
- Perbuatan manusia seperti meledakan bahan letupan secara besar-besaran
- Tumpuan kandungan air yang sangat besar di empangan dan memasukkan atau mengeluarkan cairan ke dalam atau keluar dari bumi
Gempa bumi terjadi setiap hari, namun kebanyakannya dalam skala yang kecil dan tidak menyebabkan apa-apa kerosakan. Kekuatan gempa bumi diukur menggunakan Pengukur Richter, mulai dari skala 1 hingga skala 9.
Apa yang perlu dilakukan semasa gempa bumi
- Bertenang dan jangan cemas. Cuba berlindung di tempat yang lebih selamat
- Perlu diingat ada masanya gegaran yang pertama akan disusuli dengan beberapa gegaran berikut yang lebih kuat. Bergerak hanya bila perlu seperti beralih ke tempat yang lebih selamat, dan tidak bergerak ke luar bangunan sehingga gegaran telah berhenti
Jika berada di dalam bangunan
- Bertenang dan jangan terburu-buru untuk keluar. Berlindunglah di bawah meja atau perabot yang kukuh sehingga gegaran bumi berhenti. Jika tempat tersebut tidak mempunyai sebarang perabot, tutup bahagian muka dan kepala dengan kedua-dua belah tangan dan berlindung di bahagian dalam bucu bangunan
- Jauhkan diri dari perabot berkaca, tingkap, dinding, pintu luaran dan peralatan yang mudah jatuh seperti lampu, perhiasan dan dawai elektrik
- Jika anda berada di tempat tidur, berlindunglah di bawah katil. Tutup kepala anda dengan bantal. Jika tempat tidur berada di bawah lampu gantung yang mudah jatuh, beralihlah ke tempat yang lebih selamat
- Gunakan sesuatu (seperti selimut, buku, kotak kadbod) untuk menutup kepala dan muka daripada terkena serpihan
- Jangan cemas jika bekalan elektrik terputus dan alat semburan api atau alat penggera kebakaran teraktif secara automatik
- Paip bekalan gas ke rumah kediaman juga mungkin pecah atau mengalamai kebocoran. Oleh itu elakkan diri dari menggunakan lilin atau mancis
Jika berada di ruang yang sesak
- Jangan tergesa-gesa ke muka pintu untuk keluar menyelamatkan diri
Jika berada di luar bangunan
- Pastikan anda berada di kawasan lapang sehingga gegaran berhenti
- Jauhkan diri dari bangunan, lampu jalan dan kabel elektrik
Jika berada di dalam kenderaan yang sedang bergerak
- Berhentikan kenderaan di tempat yang selamat dan duduk di dalamnya. Elakkan dari berhenti berhampiran atau di bawah bangunan, pokok besar, di bawah jejantas atau kabel elektrik
- Jika anda terpaksa meneruskan perjalanan selepas gegaran berhenti, elakkan dari melalui jalan, jambatan atau tanjakan yang telah rosak atau musnah akibat gempa bumi
Jika terperangkap di bawah runtuhan
- Tenangkan diri dan jangan cemas. Berdoa dan kuatkan semangat untuk terus hidup
- Jangan gunakan mancis atau menyalakan api
- Jangan terlalu banyak bergerak atau beralih jika anda berada di tempat yang selamat
- Tutup mulut dengan sapu tangan atau pakaian
- Jangan gunakan tangga yang sudah rosak
- Jika ada, gunakan telefon bimbit untuk mendapatkan bantuan
- Gunakan lampu suluh, ketuk batang paip atau dinding untuk menarik perhatian penyelamat. Gunakan wisel (jika ada)
- Menjerit hanya bila perlu kerana menjerit secara berterusan menyebabkan anda tersedut habuk berbahaya dan meletihkan
- Cuba gerakkan jari-jari tangan dan kaki bagi memulihkan perjalanan darah jika anda terhimpit
- Jika terdapat bekalan makanan, catukan makanan dan minuman supaya bekalan makanan tidak terputus