Skim takaful kenderaan yang paling menguntungkan
May 22nd, 2007 by 1takaful
Kadar asas caruman skim takaful (dan insurans) kenderaan dan syarat perlindungan yang ditawarkan oleh semua pengendali takaful (dan syarikat insurans) adalah sama kerana ianya berpandukan tarif yang dipersetujui oleh syarikat-syarikat insurans semenjak 1 Julai 1987 (dan turut diikuti oleh semua pengendali takaful).
Walau bagaimanapun, pemilik kenderaan masih mempunyai beberapa pilihan untuk memastikan skim takaful kenderaan yang disertai lebih menguntungkan tanpa melanggar syarat-syarat yang telah ditetapkan.
Berikut adalah langkah-langkah yang perlu dilakukan bagi memastikan skim takaful kenderaan anda adalah skim takaful kenderaan yang paling menguntungkan:
Terdapat skim takaful yang menyediakan pulangan tunai berdasarkan akad mudharabah (perkongsian untung) yang dibuat semasa menyertai skim takaful kenderaan tersebut. Kadar sebenar pulangan tunai hanya akan diketahui apabila tamat tempoh skim tersebut dan hanya dibayar sekiranya tiada tuntutan dibuat ke atas skim tersebut. Pembayaran pulangan tunai ini tidak mengurangkan kelayakan NCD (diskaun tanpa tuntutan). Oleh yang demikian, sila pastikan anda memilik skim takaful kenderaan yang ditawarkan oleh pengendali takaful yang secara berterusan membuat pembayaran pulangan tunai yang tinggi, sebaiknya melebihi 25%.
Terdapat beberapa akses dan bebanan (loading) yang dibenarkan di dalam skim kenderaan. Akses bermaksud bayaran tunai yang perlu dibuat oleh anda semasa membuat tuntutan. Bebanan pula bermaksud tambahan caruman yang dikenakan selain daripada caruman asas. Semestinya, untuk menjimatkan wang anda pilihlah pengendali takaful yang menawarkan skim takaful kenderaan dengan tanpa mengenakan sebarang akses dan bebanan atau yang paling rendah.
Setiap tuntutan yang dibuat akan membatalkan NCD kenderaan anda. Walau bagaimanapun, tuntutan bagi cermin (windscreen) pecah tidak akan membatalkan NCB kenderaan anda sekiranya anda menyertai perlindungan tambahan iaitu perlindungan cermin.
Tuntutan yang melibat pemandu yang namanya tidak dinyatakan di dalam skim takaful kenderaan tersebut akan dikenakan akses tambahan wajib RM400. Oleh yang demikian, adalah lebih menjimatkan sekiranya semua pemandu yang berkemungkinan menggunakan kenderaan tersebut dinyatakan di dalam skim takaful kenderaan melalui penyertaan perlindungan pemandu dinamakan.
Perlindungan tambahan lain yang perlu dipertimbangkan ialah perlindungan bencana tambahan (banjir, ribut, taufan, tanah runtuh, gempa bumi dll) dan perlindungan kerosakan akibat rusuhan (pencerobohan, peperangan, revolusi dll).
Kelayakan NCD boleh dipindahkan daripada kenderaan yang didaftarkan di atas nama pemilik yang sama (terhad kepada jenis kenderaan yang sama sahaja). Oleh kerana kenderaan yang lebih lama kebiasaannya dilindungi skim takaful kenderaan pihak ketiga (Third Party) sahaja dan carumannya juga lebih rendah, maka amatlah menguntungkan sekiranya kelayakan NCD kenderaan tersebut dipindahkan ke kenderaan yang dilindungi skim takaful kenderaan komprehensif (First Party).
.
.
Capaian Berkaitan
- Senarai pengendali takaful
- Semak saman (tanpa katalaluan)