Takaful Ikhlas lancar program perlindungan kenderaan
Mar 17th, 2008 by Takaful
Sumber: Utusan Malaysia, 17 Mac 2008
LUMUT: Industri insurans yang menanggung kerugian lebih RM800 juta pada tahun lepas ekoran kes-kes kehilangan kenderaan telah menarik minat Takaful Ikhlas Sdn. Bhd. (Takaful Ikhlas) untuk melancarkan program perlindungan kenderaan Ikhlas.
Program tersebut merupakan kerjasama dengan syarikat penyedia sistem sekuriti kenderaan Captor Sdn. Bhd. (Captor), dan akan ditawarkan kepada pemegang sijil atau polisi perlindungan kenderaan Takaful Ikhlas.
Ketua Pegawai Eksekutif Takaful Ikhlas, Syed Moheeb Syed Kamarulzaman berkata, kerjasama yang dijalankan adalah sejajar dengan peningkatan statistik kecurian kenderaan dalam negara.
”Keadaan semasa telah menyebabkan pengguna kenderaan sentiasa berada dalam ketakutan akan kehilangan kenderaan mereka.
”Takaful Ikhlas sedar terhadap masalah itu telah mengambil inisiatif dengan mereka program ini dengan pemberian perlindungan kepada kenderaan mereka dan menjimatkan kos yang terpaksa ditanggung oleh mangsa kecurian,” katanya pada sidang akhbar selepasa majlis pelancaran program perlindungan kenderaan Ikhlas.
Tambah Moheeb, tawaran program ini adalah kepada semua pemegang polisi perlindungan mereka serta pemilik kenderaan pelbagai jenis tidak kira kenderaan mewah atau sederhana.
”Captor melalui system Captor RF akan menawarkan perkhidmatan terbaik untuk mengesan kenderaan yang hilang dalam masa yang singkat kerana rangkaian pasukan pengesan mereka adalah antara yang terbaik.
”Selain itu, system ini turut dapat menjimatkan pembayaran balik polisi kepada pemegang polisi dan memastikan penemuan kenderaan mereka serta penjimatan kewangan mereka,”ujarnya.
Program tersebut boleh dilanggan pada harga RM1,988 dan pelanggan layak menerima Ikhlas kemalangan peribadi bernilai RM50,000 termasuk perbelanjaan pengkebumian RM1,000 secara percuma.
”Mereka turut akan mendapat semula sistem Captor RF yang diletakkan pada kenderaan secara percuma sekiranya kenderaan mereka diganti dengan kenderaan baru,” jelasnya.