Tuntutan takaful berikutan kemalangan jalanraya
Oct 8th, 2007 by Takaful
Pada awal tahun 2007, saya telah terlibat dengan kemalangan jalanraya yang melibatkan lima buah kereta di Lebuhraya Utara Selatan. Berdasarkan pengalaman ini, saya ingin berkongsi mengenai tatacara yang perlu diambil perhatian bagi memudahkan pihak pengguna membuat tuntutans takaful (atau insurans) ke atas kerosakan kenderaan, kecederaan diri dan kerosakan hartabenda pihak ketiga.
Pertama sekali, apabila kita terlibat di dalam kemalangan jalanraya, adalah penting untuk bertenang dan tidak merasa cemas.
- Jika ada sesiapa yang tercedera, telefon 999 untuk bantuan.
- Jika tidak ada sebarang kecederaan, alihkan kenderaan anda dari aliran trafik ke tempat yang selamat, jika boleh.
- Catatkan nama dan alamat pemandu-pemandu lain yang terbabit.
- Catatkan model dan nombor pendaftaran kenderaan lain yang terlibat.
- Catatkan nama dan alamat saksi-saksi, sekiranya ada.
- Buat lakaran kasar tentang kemalangan dan lokasi kenderaan terlibat sejurus sebelum dan selepas kemalangan (Gambar mengenai kemalangan, jika ada, akan membantu).
- Bertukar maklumat mengenai nama syarikat insurans/pengendali takaful masing-masing.
- Jangan berbincang tentang siapa yang bersalah. Ini mungkin menimbulkan kesulitan dalam mengendalikan tuntutan anda.
- Jika kenderaan anda perlu ditunda, pastikan bahawa kenderaan tersebut dibawa ke Balai Polis yang berdekatan terlebih dahulu sebelum dihantar ke bengkel yang betul. Hubungi syarikat insurans/pengendali takaful anda atau nombor “hotline” kemalangan syarikat tersebut bagi mendapatkan maklumat tentang bengkel kenderaan yang sepatutnya.
- Laporkan kemalangan kepada polis dengan segera.
- Laporkan kemalangan kepada syarikat insurans/pengendali takaful anda dengan segera, walaupun anda tidak berniat untuk membuat sebarang tuntutan. Pihak ketiga yang terlibat dalam kemalangan tersebut mungkin akan membuat tuntutan insurans daripada syarikat insurans/pengendali takaful anda dan akan menyebabkan kehilangan NCD anda.
- Isikan borang tuntutan dengan lengkap dan masukkan maklumat tambahan yang berkaitan. Jika ada sebarang keraguan, dapatkan nasihat dari syarikat insurans/ pengendali takaful anda.
Sekiranya kenderaan anda mengalami kerosakan, anda boleh membuat sama ada tuntutan kerosakan sendiri atau tuntutan pihak ketiga. Bagi tuntutan kerosakan sendiri, hubungi syarikat insurans atau pengendali takaful anda dengan segera untuk mendapatkan nasihat mereka.
Jika syarikat insurans anda mencadangkan atau menghendaki kerja pembaikan dilakukan di bengkel panel yang diluluskan, hantar kenderaan anda seperti yang dinasihatkan. Syarikat insurans atau pengendali takaful anda akan menolak tuntutan jika kenderaan anda tidak dihantar ke bengkel yang diluluskan mereka. Syarikat insurans anda akan menghantar pelaras kerugian untuk menilai kerosakan kenderaan anda sebelum membenarkan kerja baik pulih dijalankan.
Capaian berkaitan:
Tips mengelak kemalangan jalanraya
Panduan keselamatan – Kemalangan jalanraya
Perlindungan takaful kereta persendirian komprehensif
Skim takaful kenderaan yang paling menguntungkan