Suntikan modal RM20j tingkatkan modal Takaful Ikhlas
Jun 17th, 2008 by Takaful
Sumbe: Utusan Malaysia, 17hb Jun 2008
Modal berbayar Takaful Ikhlas Sdn. Bhd. (Takaful Ikhlas) telah meningkat kepada RM195 juta setelah menerima suntikan modal sebanyak RM20 juta daripada syarikat induknya, MNRB Holdings Bhd. (MNRB).
Takaful Ikhlas dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata, peningkatan modal itu selaras dengan matlamat Pelan Induk Sektor Kewangan untuk mengukuhkan kapasiti kewangan para pengendali takaful bertujuan untuk mewujudkan perkembangan sihat dalam industri takaful tempatan.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Syed Moheeb Syed Kamarulzaman berkata, ia melengkapkan keperluan modal asas yang mencukupi untuk membiayai inisiatif pertumbuhan syarikat.
Beliau berkeyakinan bahawa tahun kewangan 2008/2009 menawarkan pencapaian yang lebih baik dengan sasaran perolehan sumbangan sebanyak RM520 juta.
”Kami telah membariskan beberapa produk baru yang inovatif, rancangan untuk mengukuhkan kerjasama strategik perniagaan dan inisiatif dalam usaha memperbaiki mutu perkhidmatan kepada para peserta.
”Kami yakin usaha-usaha ini akan membolehkan kami meningkatkan lagi perolehan syarikat,” kata Syed Moheeb.
Takaful Ikhlas yang memperoleh lesen untuk mengendalikan perniagaan Takaful keempat pada 21 April 2003 daripada Bank Negara mempunyai lebih 4,500 ejen bagi sektor Takaful Keluarga dan Amnya.
Secara keseluruhan, Takaful Ikhlas telah melancarkan lebih 77 produk Takaful Keluarga dan Am bagi pasaran individu dan kelompok.
Sehingga kini terdapat lebih 60,000 individu dan syarikat telah mendaftar sebagai pemegang polisi Takaful Ikhlas.