Takaful Ikhlas jangka lepasi sasaran pertumbuhan
Sep 24th, 2007 by 1takaful
Sumber: Utusan Malaysia, 24 September 2007
Takaful Ikhlas Sdn. Bhd. yakin dapat mencapai pertumbuhan perolehan lebih 50 peratus bagi tahun kewangannya yang berakhir 31 Mac 2008.
Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutifnya, Syed Moheeb Syed Kamarulzaman berkata, berdasarkan prestasi bagi tempoh setengah tahun pertama tahun kewangan semasa, Takaful Ikhlas dijangka dapat mengatasi unjuran awalnya pertumbuhan perolehan 50 peratus.
Bagi suku pertamanya yang berakhir pada Jun 2007, anak syarikat Malaysian National Reinsurance Bhd. (MNRB) itu mencatatkan perolehan RM72 juta, naik 60 peratus daripada suku yang sama tahun lepas.
Takaful Ikhlas mencatatkan perolehan RM33 juta pada Julai 2007, berbanding RM17 juta pada bulan yang sama tahun lepas dan RM40 juta pada Ogos 2007 berbanding RM18 juta pada bulan yang sama tahun lepas.
“Ini menunjukkan bahawa kami berkembang pada kadar yang lebih cepat daripada yang dijangkakan. Kami menjangka mengekalkan kemajuan yang sama bagi suku kedua yang berakhir pada 30 Sept, 2007,” kata Syed Moheeb kepada Bernama dalam satu temu bual baru-baru ini.
Menurutnya, keuntungan dijangka ‘meningkat dengan ketara’ sejajar dengan perolehan yang tinggi.
Tahun lepas, Takaful Ikhlas mencatatkan perolehan RM61 juta bagi segmen takaful keluarga manakala segmen takaful am menjana RM53 juta. Keuntungan berjumlah RM1.5 juta.
Syed Moheeb berkata, kemajuan yang dicatatkan itu adalah hasil sumbangan daripada ejennya dan penggunaan teknologi dalam operasi terutamanya sistem teknologi maklumat (IT).
Bagi mengembangkan operasi, Takaful Ikhlas sedang berusaha memantapkan tenaga kerja, katanya, sambil menambah syarikat itu mahukan gabungan pekerja berpengalaman dan siswazah baru serta pakar dalam insurans marin dan kejuruteraan.
Takaful Ikhlas juga merancang menambah bilangan ejen takaful keluarga daripada 4,000 kepada 5,000 dan ejen takaful am daripada 900 kepada 1,100 menjelang Mac tahun depan.
Ia juga akan menawarkan sekurang-kurangnya tiga produk baru pada akhir tahun bagi menambah kepada 32 produk takaful keluarga dan 35 produk takaful am yang ia tawarkan baru-baru ini.
“Kami mempunyai jaringan produk yang hampir lengkap. Produk tersebut perlu menyediakan kepada keperluan dan menjana keuntungan yang mencukupi bagi pelanggan. Ini penting kerana takaful merupakan alternatif kepada simpanan. Ia merupakan satu pelaburan, simpanan dan perlindungan,” kata Syed Moheeb.
Beliau berkata, segmen pasaran yang berlainan melihat takaful dari sudut pandangan yang berbeza dengan pelanggan mewah menganggap takaful sebagai satu alat pelaburan manakala golongan berpendapatan rendah melihatnya sebagai satu perlindungan.
“Peserta Takaful perlu memahami pasaran dan menyediakan produk berdasarkan keperluan setiap segmen,” katanya.
Bagi pengembangan domestiknya, Takaful Ikhlas menerima kelulusan daripada Bank Negara Malaysia untuk mengembangkan rangkaian cawangannya di Melaka, Ipoh dan Kuantan, kata Syed Moheeb.
Cawangan-cawangan baru dijangka dibuka pada akhir tahun kewangan semasa, katanya.
“Kota Kinabalu sudahpun mempunyai pejabat yang sedang beroperasi tetapi belum lagi dilancarkan. Sebuah lagi cawangan di Putrajaya akan dibuka pada November,” kata Syed Moheeb sambil menambah purata pelaburan bagi setiap cawangan ialah kira-kira RM500,000.
Takaful Ikhlas ketika ini mempunyai cawangan di Johor Baharu, Kota Bharu, Sungai Petani, Kuching dan Kuala Lumpur.