Pendekatan “Cipta & Simpan” pelan takaful keluarga
Feb 5th, 2007 by Takaful
Secara umumnya, seseorang menyimpan wang untuk tujuan memenuhi matlamat masa depan atau kejadian yang tidak dijangka yang memerlukan sumber kewangan serta-merta. Di dalam mekanisma simpanan, tabungan akan terbina perlahan-lahan, lebih-lebih lagi dengan kadar keuntungan yang rendah. Tambahan pula, pendekatan ini juga membuat anggapan bahawa seseorang itu akan hidup lama untuk membolehkannya menyimpan dan mengumpulkan sejumlah wang yang besar.
Kelemahan sistem ini adalah:
- Ianya memerlukan kita menyimpan sekerap yang boleh sepanjang hidup kita untuk mengumpulkan jumlah yang dikehendaki. Kematian boleh memusnahkan impian tersebut.
- Tidak ramai di antara kita yang mempunyai disiplin menyimpan wang dengan kerap untuk jangka masa yang panjang.
- Dengan itu, wujudnya perasaan untuk menggunakan simpanan bagi memenuhi ‘keperluan’ hidup atau pun kemewahan.
Melalui pendekatan cipta dan simpan, satu aset serta-merta telah dicipta untuk seseorang itu. Saiz aset tersebut adalah bergantung kepada keinginan seseorang itu dan kemampuannya membayar carumannya. Satu-satunya kemudahan yang membolehkan terciptanya satu aset serta-merta ialah takaful keluarga. Untuk caruman yang kecil jumlahnya, seseorang boleh mencipta satu aset serta-merta (yang mana lebih besar jumlahnya jika dibandingkan dengan caruman permulaan yang diperlukan). Kita tidak boleh mendapatkan kemudahan seperti ini daripada mana-mana bentuk pelaburan seperti saham unit amanah, simpanan tetap dan saham.
Di dalam membandingkan dua sistem di atas, jelas menunjukkan bahawa takaful keluarga merupakan satu saluran yang cukup penting bagi memenuhi keperluan masa depan seseorang. Takaful keluarga membolehkan satu tabung tersedia apabila ianya amat diperlukan. Sebab itulah, takaful keluarga juga ditakrifkan seperti seorang kawan semasa kita benar-benar memerlukannya.