Hasrat Takaful Malaysia jual saham diteruskan
Dec 10th, 2008 by Takaful
Sumber: Utusan Malaysia, 10hb Disember 2008
Syarikat Takaful Malaysia Bhd. (Takaful Malaysia) masih mempunyai harapan untuk meneruskan cadangan penjualan pegangan sahamnya kepada syarikat asing berikutan perbincangan dengan syarikat dari Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu masih berjalan.
Pengarah Urusan Kumpulan Takaful Malaysia, Datuk Hassan Kamil berkata, walaupun semalam syarikat telah membatalkan perbincangan dengan Islamic Arab Insurance Co. P.J.S.C (SALAMA) untuk pembelian pegangan strategik dalam Takaful Malaysia, tetapi syarikat masih meneruskan perbincangan dengan pihak lain.
”Cadangan penjualan pegangan saham Takaful Malaysia yang dibuat syarikat induk kami adalah untuk menjalankan aktiviti menjana modal, perbincangan dengan kumpulan syarikat Abu Dhabi masih diteruskan dan berharap segalanya akan berjalan lancar.
”Pembatalan perbincangan dengan SALAMA yang telah mengambil masa selama setahun itu adalah disebabkan syarikat itu dilihat tidak dapat menambah nilai kepada Takaful Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri mesyuarat agung tahunan Takaful Malaysia di sini, hari ini.
Selain itu, Hassan berkata, Takaful Malaysia juga tidak menolak kemungkinan untuk mempunyai rakan niaga strategik di Indonesia bagi mengukuhkan kedudukannya di negara itu.
”Kami telah mengenal pasti rakan niaga yang sesuai terutama bank berlandaskan Syariah di negara itu untuk memasarkan produk Takaful Malaysia kerana penggunaan model bank untuk penjualan produk insurans adalah yang terbaik dalam mengembangkan perniagaan.
”Namun sebelum mencari rakan strategik yang sesuai, langkah pertama yang diperlukan adalah menyuntik dana sebanyak RM21 juta dalam usaha meningkatkan infrastruktur termasuk teknologi maklumat (IT),” jelasnya.
Takaful Malaysia, yang mempunyai 56 peratus pegangan dalam P.T. Syarikat Takaful Indonesia, setakat ini mempunyai 33 cawangan di negara itu berhasrat menjadikan kehadiran mereka di terima di Indonesia dengan mempunyai rakan kongsi strategik.
Sementara itu, fokus Takaful Malaysia dalam perniagaan domestiknya adalah meningkatkan penjualan produk peruncitan dengan menggunakan bantuan Bank Islam dan Tabung Haji, kata Hassan.
”Kami telah mendapat kelulusan daripada Bank Negara Malaysia (BNM) untuk membuka kaunter atau meja Takaful Malaysia di semua cawangan Bank Islam dan Tabung Haji bagi menambah peluang penjualan produk kami di situ,” katanya.
Ketika ditanya mengenai pertumbuhan keuntungannya pada tahun hadapan, Takaful Malaysia mengunjurkan pertumbuhan keuntungan yang kurang dalam menghadapi pertumbuhan ekonomi yang perlahan, katanya.