Pemeriksaan kesihatan sebelum menyertai pelan takaful
May 29th, 2007 by 1takaful
Apabila memohon untuk menyertai pelan takaful keluarga atau pelan takaful perubatan, ada kalanya pemohon diminta menjalani pemeriksaan kesihatan. Keperluan pemeriksaan kesihatan dan jenis-jenis ujian yang perlu dijalani bergantung kepada umur, jumlah dan jenis perlindungan, tahap kesihatan semasa dan sejarah kesihatan pemohon, dan garispanduan penerimaan risiko pengendali takaful itu sendiri.
Pemeriksaan kesihatan yang dimaksudkan termasuklah pemeriksaan fizikal, ujian darah dan ujian air kencing. Selain daripada itu, pemohon juga mungkin perlu menjalani ujian x-ray dada, EKG, Stress EKG (pengisar injakan) dan lain-lain bentuk diagnosa, terutamanya apabila memohon untuk menyertai pelan takaful dengan jumlah perlindungan yang tinggi. Semasa pemeriksaan kesihatan dilakukan, pemohon juga perlu mengemukakan maklumat tambahan berkaitan sejarah kesihatan seperti nama doktor yang pernah merawat dan rawatan yang diterima.
Seandainya pemohon mempunyai masalah kesihatan, tiada apa yang dapat disembunyikan kerana pemeriksaan kesihatan yang dilakukan akan menunjukkan tahap kesihatan pemohon yang sebenar. Oleh yang demikian, pemohon perlu menjawab semua soalan yang diajukan dengan jujur kerana sebarang penyembunyian fakta memberi hak kepada pengendali takaful untuk tidak menjelaskan tuntutan manfaat yang dikemukakan kelak.
Walau bagaimanapun, untuk memastikan pemeriksaan kesihatan tersebut tidak memberikan gambaran yang salah mengenai tahap kesihatan pemohon, berikut adalah beberapa yang perlu dilakukan:
- Tidur secukupnya pada sebelah malam sebelum pemeriksaan kesihatan dilakukan
- Berpuasa selama 8 jam sebelum ujian darah (air kosong dibolehkan)
- Jangan merokok sekurang-kurangnya selama 8 jam sebelum pemeriksaan kesihatan dilakukan
- Elakkan minum berkafein (seperti kopi dan teh) dan minuman berkarbonat sekurang-kurangnya selama 8 jam sebelum pemeriksaan kesihatan dilakukan
- Jangan lakukan kerja berat atau latihan kesihatan yang berat sekurang-kurangnya selama 24 jam sebelum pemeriksaan kesihatan dilakukan
- Kurangkan pengambilan garam dan makanan berkalestrol sekurang-kurangnya selama 24 jam sebelum pemeriksaan kesihatan dilakukan
- Batalkan temujanji periksaan kesihatan sekiranya sakit (termasuk sakit ringan)